Suami Isteri Disamun Empat Lelaki


KUANTAN – Sepasang suami isteri diikat sebelum barangan kemas dan wang tunai RM200 dilarikan empat lelaki yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Pahang, Jalan Sungai Soi di sini, awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superitendan Abdul Aziz Ahmad berkata, dalam kejadian 2.30 pagi itu pasangan suami isteri itu sedang nyenyak tidur apabila rumah mereka dimasuki suspek terbabit.

“Suspek kemudiannya bertindak mengikat mangsa, 48, dan isterinya, 40an, sebelum menggeledah rumah mereka sebelum melarikan barang kemas, tiga buah telefon bimbit dan wang tunai,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, keempat-empat suspek yang dipercayai warga Indonesia turut melarikan kereta jenis Proton Iswara milik mangsa.

Katanya, selepas suspek berkenaan malarikan diri pasangan suami isteri terbabit berjaya melepaskan ikatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuantan.

“Pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.
Aziz berkata, nilai kerugian keseluruhan yang dialami mangsa juga masih dalam siasatan.

Katanya, polis kini memburu semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Lelaki berbulu Chimp mulakan rawatan

Khamis, 22 November 2012

Zhang Hongming (kanan) menunjukkan tompok hitam berbulu yang memenuhi sebahagian besar bahagian depan, belakang badan serta tangannya kepada seorang doktor di Hospital Pembedahan Plastik Hua Mei di Shanghai, China, baru-baru ini. - Agensi

BEIJING 21 Nov. - Seorang lelaki di China yang digelar Chimp mula menerima rawatan untuk membantu menghilangkan tompok hitam berbulu di badannya.

Zhang Hongming dari Chongqing, barat daya China, menderita penyakit kulit luar biasa yang dipanggil pigmentasi nevus itu, sejak dia dilahirkan, menyaksikan pesakit mempunyai tahi lalat berbulu gergasi.
Hongming dilahirkan dengan tanda lahir hitam di badannya, tetapi ekoran keluarganya miskin, dia tidak pernah mendapat sebarang rawatan.
"Tompok hitam itu telah menjadi mimpi ngeri sejak saya dilahirkan.
"Pada mulanya saya hanya ada tanda lahir berwarna hitam, tetapi sejak umur lapan tahun, benda itu semakin membesar dan mengeluarkan bulu," katanya.
Menurut Hongming, akibat penyakit yang dialaminya itu, dia juga sering dibuli dan diejek, selain digelar monyet atau cimpanzi.
"Setiap kali saya melihat orang di sekeliling saya berbisik-bisik sesama mereka, saya akan melarikan diri," ujarnya.
Hospital Pembedahan Plastik Hua Mei di Shanghai telah bersetuju untuk menyediakan rawatan percuma bagi merawat penyakitnya itu.
Dia kini sedang menjalani rawatan pertama daripada enam prosedur yang perlu dilaluinya untuk menghilangkan bulu-bulu dan tahi lalat tersebut. - AGENSI

Lelaki Mati Mengejut Ketika Curi Kereta

Seorang pencuri kereta jatuh rebah dan mati setelah berlari sejauh 100 meter semasa meninggalkan kereta curi itu apabila menyedari terdapat seorang kanak-kanak di dalam kereta itu.
Dalam kejadian 7 pagi tadi, suspek itu melarikan sebuah kereta yang ditinggalkan seketika dalam keadaan enjin masih hidup oleh seorang wanita ketika menghantar dua anak perempuannya masing-masing berumur empat tahun dan empat bulan di sebuah pusat asuhan di Taman Melati.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan dalam khidmat pesanan ringkasnya berkata: “Kanak-kanak (anak wanita itu budak lelaki berumur tujuh tahun) yang ada dalam kereta itu menangis menyebabkan suspek yang berusia 47 tahun itu terkejut dan bertindak meninggalkan kereta tersebut di Jalan 12C/6, Setapak Indah dan berlari sejauh 100 meter sebelum dia rebah dan mati”.
Katanya, suspek turut mempunyai sebuah beg duit dipercayai beg yang dicuri dari kenderaan itu.
“Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya sambil menambah suspek tersebut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk dadah. sumber