Anifah Aman Hadir ASEM Ke 11 Di New Delhi


KUALA LUMPUR – Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asia-Eropah (ASEM) ke-11 di New Delhi, bermula Isnin ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, mesyuarat itu akan membincangkan  isu-isu terkini serantau dan antarabangsa seperti keadaan ekonomi dunia, pembangunan mampan, pencegahan keganasan, keselamatan siber, pengurusan bencana dan penyeludupan manusia.

Mesyuarat dua hari itu dengan tema ‘ASEM: Jambatan Ke Arah Gandingan Untuk Pertumbuhan dan Pembangunan’ juga akan membincangkan situasi di Syria, Mesir, Afghanistan dan Semenanjung Korea.

Menurut kenyataan itu, anggota-anggota ASEM juga akan membincangkan bagaimana untuk mempertingkatkan lagi kaedah kerja ASEM, mengenal pasti bidang kerjasama baharu dan merangka strategi untuk meningkatkan visibiliti ASEM.

Usaha-usaha tersebut juga merupakan sebahagian daripada persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEM ke-10 di Milan, Itali pada 9 hingga 10 Okt 2014 dan sambutan ulang tahun ASEM ke-20 pada 2016 nanti.

Selain itu satu Kenyataan Pengerusi akan diperakukan pada akhir mesyuarat yang mengariskan usaha-usaha diambil oleh anggota-anggota ASEM bagi mengukuhkan lagi kerjasama melalui aktiviti yang telah dicadangkan dalam mesyuarat ASEM yang lepas.

ASEM merupakan satu forum dialog tidak formal antara negara-negara Asia dan Eropah yang ditubuhkan pada 1996 dan sehingga kini ia mempunyai 51 negara anggota termasuk Kesatuan Eropah dan Sekretariat ASEAN. – BERNAMA

Posting Komentar