Fokus PRU13 Ada pengundi BN akan berpaling tadah

Wartawan Sinar Harian 3 Februari 2013
Fokus PRU13: Pas dakwa ada pengundi BN akan berpaling tadah Muhamad Idris (belakang, kanan) bersama Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor, Khalid Samad dalam satu program di Bukit Sentosa.
Fokus PRU13: Pas dakwa ada pengundi BN akan berpaling tadah Muhamad Idris (belakang, kanan) bersama Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor, Khalid Samad dalam satu program di Bukit Sentosa.
HULU BERNAM – Senario politik di daerah ini disifatkan sudah berubah sehingga mempengaruhi pengundi yang dikatakan masing-masing tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
Perubahan itu membawa kepada pertambahan bilangan pengundi atas pagar yang dikatakan menjadi penentu kepada kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Yang Dipertua Pas Kawasan Hulu Selangor, Muhamad Idris Ahmad berkata, golongan pengundi atas pagar juga yang telah membawa kemenangan PKR pada PRU ke 12, 2008 lalu di mana, beliau mendakwa pengundi Barisan Nasional (BN) sendiri yang memberi undi mereka kepada PKR.

“Golongan atas pagar yang ada dalam BN sendiri yang bersedia untuk berikan undi kepada calon yang mereka rasakan dapat memberi perubahan kepada Hulu Selangor.

“Pada ketika itu (2008), kita lihat, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad mendapat undi yang banyak daripada pengundi atas pagar,” katanya.

Beliau juga tidak terkejut melihat kemenangan BN pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, 2010 lalu kerana percaya pengundi atas pagar mengalihkan sokongan mereka.

Menurutnya, antara faktor kemungkinan peralihan sokongan itu setelah melihat kredibiliti calon dan dari segi kekuatan Pakatan Rakyat (PR) itu sendiri.

Katanya, kesimpulan daripada itu, senario peralihan kuasa menunjukkan sebenarnya kuasa pengundi atas pagar sangat kuat.

“Tetapi, saya berfikiran sejak akhir-akhir ini rakyat semakin menyebelahi PR. Rakyat juga semakin meluat dengan tuduhan-tuduhan liar dan fitnah yang berleluasa dan turut dilemparkan kepada Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rakyat semakin tidak meyakini tuduhan-tuduhan ini dan inilah yang akan mengubah fikiran golongan pengundi atas pagar yang akan berganjak kepada PR,” katanya.

PR guna strategi hikmah
Muhamad Idris berkata, BN Hulu Selangor pernah menyuarakan kebimbangan berikutan berlaku peningkatan pengundi atas pagar sambil mengarahkan jentera sayap parti mereka bergerak untuk memenangi hati golongan tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak nampak adanya gerakan agresif daripada jentera BN ke arah itu dan berkemungkinan usaha mereka gagal.

Berbeza dengan jentera PR khususnya Pas, Muhamad Idrsi berkata, Pas akan menggunakan strategi penuh hikmah dengan membawa pengundi atas pagar ini berfikiran lebih terbuka.

“Kita mengenal pasti beberapa kaedah dan strategi untuk menawan hati pengundi atas pagar. Ketika ini, kita juga sedang melakukan strategi untuk menangkis kaedah yang dilakukan BN yang mana kita tahu strategi mereka agak kotor.

“Tetapi, insya-Allah strategi kita akan dapat menggerakkan golongan atas pagar ini untuk berfikir waras,” katanya.

Usaha menangi hati peneroka
Antara usaha yang telah dilakukan Pas adalah membuka mata peneroka Felda yang didakwa selama ini ditipu kerajaan BN.

Menurutnya, strategi sama digunakan untuk memenangi hati peneroka iaitu dengan penuh hikmah dan mengajak rakyat berfikiran terbuka.

“Saya fikir (peneroka) Felda sekarang ini sudah mula membuka mata khususnya mengenai isu penipuan terhadap mereka.

“Saya fikir ini antara lain yang boleh membantu kita dan membawa mereka kembali kepada PR,” katanya.

Sepakat bantu jentera PR
Walaupun PR tidak meletakkan kuota, namun sudah menjadi tradisi untuk ketiga-tiga kerusi Dun di Hulu Selangor diisi setiap parti komponen dalam PR.

Muhamad Idris berkata, Pas akan diletakkan di kerusi Dun Hulu Bernam, DAP di Dun Kuala Kubu Bharu manakala PKR Dun Batang Kali.

“Pas Hulu Selangor mempunyai hampir 37 cawangan dan kita sudah sepakat akan membantu antara satu sama lain dalam gerak kerja kita dan Pas memang akan tertumpu di Hulu Bernam.

“Tetapi, bukan bermakna kita tidak membantu di Dun Kuala Kubu Bharu dan Dun Batang Kali kerana strategi Pas kita telah menyusun petugas di seluruh kawasan,” katanya.

Beliau berkata, Pas berhasrat menawan kerusi Dun Hulu Bernam dalam masa yang sama memastikan DAP dan PKR menang di kerusi Dun masing-masing.

Posting Komentar